Resort spa Linda Onn
Dikuasai warna merah dan hitam, sesiapa yang melangkah ke dalam
banglo mewah Linda Onn akan dicengkam aura keyakinan, keberanian dan
kekuatan yang menawan hati tetapi penuh misteri.
"SAYA sendiri masih tidak percaya ini semua suatu kenyataan," tutur
Linda Onn membuka pintu bicara mengenai kediaman barunya di Setiahills
yang terletak di Bukit Indah, Ampang.
Banglo dua tingkat dengan keluasan termasuk tanah yang mencecah 8,000
kaki persegi (743 meter persegi) yang terletak di pinggir kawasan
metropolitan Kuala Lumpur serta bersebelahan dengan Bandar Baru Ampang
dan Ampang Jaya itu sebenarnya merupakan salah satu daripada 45 buah
banglo berkonsep resort atau vila spa Bali.
Merupakan sebuah kawasan perumahan elit dan eksklusif dengan kawalan
keselamatan 24 jam, Setiahills yang dibangunkan oleh syarikat pemaju
hartanah terbesar di Malaysia, SP Setia itu dibina dengan pelbagai reka
bentuk. Harga setiap banglo tersebut pula mencecah antara RM2.2 hingga
RM3.6 juta.
DARI ATAS IKUT ARAH JAM: KAMAR mandi peribadi pemilik kediaman yang berkonsep vila spa Bali.
SUASANA malam di kediaman mewah Linda.
LINDA mencurahkan idea sendiri dalam menata rias kediaman barunya.
"Diperkenalkan dengan Setiahills oleh seorang kawan, mula-mula saya
langsung tidak berminat untuk membeli rumah di sini sebab harganya yang
agak tinggi," akui Linda, 32.
Sekadar menyebut harga kediaman yang baru didudukinya kira-kira
sebulan itu dalam lingkungan jutaan ringgit, penyampai radio popular
yang kini bertugas dengan stesen Sinar FM itu menyambung bicara, "Namun,
apabila mengkaji semula bajet, Linda pun terima ini (pembelian banglo
tersebut) sebagai satu tanggungjawab baru. Justeru, Linda terima cabaran
dengan membelinya untuk dijadikan aset terbaru."
Bersatu dengan alam
Dekorasi ruangan dalaman banglo Linda itu sebenarnya sama sahaja
seperti banglo lain yang dilengkapi dengan ruang tamu, ruang makan dan
dapur. Namun, apabila bahagian belakang banglo itu bersatu dengan alam
sekitar, keluasan dan keselesaannya mampu membuatkan emosi bebas
daripada segala tekanan hidup.
Buktinya kawasan belakang banglo itu betul-betul menghadap bukit yang
menghijau. Kedudukan banglo ini pula agak istimewa berbanding
banglo-banglo berhampiran kerana ia terletak di lot hujung yang
menyuntik ciri eksklusif yang ekstra.
ATAS: PERHATIKAN kolam mandi yang terletak dalam jarak hanya satu langkah daripada sofa di ruang tamu yang luas dan selesa ini.
BAWAH KAMAR beradu Linda yang memiliki saiz melebihi saiz apartmen atau kondominium biasa.
Dinding ruang tamu, ruang makan dan sebuah bilik sederhana besarnya
yang membina struktur belakang banglo itu bukan dibina dengan konkrit
tetapi diwakili pintu kaca gelungsur telus pandang, yang apabila
disingkap akan betul-betul mendedahkan bahagian dalaman rumah kepada
dunia luar.
Bayangkan ini. Selangkah sahaja di belakang sofa di ruang tamu ialah
kolam mandi yang lengkap dengan jakuzi. Kolam mandi tersebut dibina
memanjang dari ruang tamu sehingga ruang makan dan pemandangan kedamaian
kolam tersebut boleh dinikmati daripada bilik yang bersambung dengan
ruang makan itu.
Melangkah pula dari ruang makan ialah zon bersantai yang menghadap
kolam. Sempat Linda menjamu krew Jurnal menikmati juadah makanan di
situ. "Terasa seperti sedang dalam percutian pula," sahut jurugambar,
Nooradzrene Mohd. Noor.
Melangkapkan suasana resort banglo Linda itu ialah sebuah gazebo,
selain sebuah taman mini yang bersambung dengan ruang tamu di bahagian
kanan rumah.
"Persekitaran kolam dan gazebo ini adalah antara ruangan yang paling
saya suka di banglo ini selain dari bilik tidur saya di atas," ujarnya
mengenai banglo yang memiliki lima bilik - satu di bawah dan empat di
tingkat atas serta sebuah bilik kecil untuk pembantu rumah.
Curahan idea peribadi
Meraih layanan kelas pertama, krew Jurnal sempat merasai betapa
empuknya tilam di katil bilik utama Linda. Saiz bilik beradu Linda itu
kalau dibuat perbandingan adalah lebih luas daripada sebuah apartment
atau kondominium dengan keluasan melebihi 1,000 kaki persegi.
Uniknya bilik tidur ini menepati ciri-ciri resort spa Bali dengan
bilik mandinya yang amat luas dan terbuka - justeru, ia turut bersatu
dengan alam.
Keluasan bilik tidur utama ini digandakan dengan pintu kaca gelangsar
telus pandang dan beranda bersaiz mega yang menghadap bahagian belakang
banglo dan menuju terus kepada pemandangan kehijauan bukit.
"Apabila mula-mula melihat ruangan dalam banglo ini saya terus
terfikir, nampaknya saya perlu menggunakan khidmat pereka hiasan
dalaman. Namun, apabila difikir dengan lebih mendalam, saya bimbang pula
tak menepati cita rasa, lalu saya mengambil cabaran untuk mencurahkan
idea saya sendiri," ujar Linda.
Menjadikan majalah-majalah dan program-program dekorasi di televisyen
sebagai rujukan, Linda mengambil masa berbulan-bulan sebelum sepenuhnya
berjaya memercikkan idea bagi menata rias seluruh ruangan banglo
tersebut.
"Saya membuat tinjauan di kedai-kedai perabot, lampu, aksesori
sehingga akhirnya mendapat barangan yang menepati kehendak saya bagi
dekorasi banglo ini," katanya.
Mengulas mengenai penataan warna, Linda memberitahu, "Sememangnya
warna hitam dan merah adalah warna kegemaran saya. Merah mewakili tiga
sifat - yakin, berani dan kuat, manakala hitam pula menawan dan misteri.
Tambahnya, "Sesiapa yang melangkah ke kediaman saya ini akan merasai aura gabungan kelima-lima elemen tersebut."
Persinggahan sementara
Umum mengetahui Linda turut membawa ibu dan bapanya tinggal
bersamanya sejak dia mula-mula membuka bisnes francais restoran nasi
ayamnya yang terkenal itu, My Mom's Chicken Rice sejak lima tahun lepas.
"Selama ini, Linda tinggal dengan ibu dan bapa di rumah jenis
berkembar di kawasan perumahan mewah Beverly Heights di Ukay Perdana.
"Sebagai anak bongsu, ibu bagi Linda ibarat nyawa Linda. Ibu selalu
kata, 'Linda ni tak kahwin-kahwin juga sebab jadi baby girl semula',"
seloroh Linda sambil mengukir senyuman di bibir.
SESIAPA yang berpeluang menghuni di
bilik tidur di tingkat bawah banglo ini, pasti merasakan seolah-olah
sedang dalam percutian di sebuah resort.
RUANG menonton televisyen di tingkat atas banglo dengan balkoni yang menghadap panorama kehijauan bukit.
RUANG menonton televisyen di tingkat atas banglo dengan balkoni yang menghadap panorama kehijauan bukit.
Linda yang mengumumkan bakal membuka empat lagi cawangan My Mom's
Chicken Rice - dua di Melaka dan dua di Johor dalam pada itu mengakui
ibunya, Saadiah, 67, lebih suka tinggal di Beverly Heights kerana selain
sudah lama tinggal di sana, kejiranan di situ amat disenangi ibunya
itu.
"Di Beverly Heights, hubungan sesama jiran sangat akrab dan saling
mengunjungi khususnya apabila ada ada kenduri-kendara atau sambutan hari
perayaan seperti Aidilfitri.
"Buat sementara waktu, banglo baru saya ini saya jadikan sebagai
rumah persinggahan. Sebab itulah ada ruang yang belum sepenuhnya dihias,
seperti bahagian balkoni bilik utama yang masih kosong lagi," jelasnya
yang turut memberitahu antara perabot yang dibawa dari rumah lama ke
kediaman di Setiahills itu termasuklah sofa dan meja makan.
"Banglo ini sejuk suasananya, dan memanglah lebih luas berbanding
rumah di Beverly Heights. Tapi suasananya sunyi," ujar ibu Linda,
Saadiah, ketika diminta mengulas mengenai aset terbaru anaknya itu.
Tidak banyak melontarkan bicara, itupun setelah puas dipujuk untuk
bercerita tentang Linda daripada pandangan dirinya selaku wanita yang
telah melahir dan membesarkan Linda, Saadiah sekadar menuturkan, "Doa
ibu untuk Linda dan tiga anak yang lain itu untuk menjadi manusia yang
berjaya dan berguna sudah tercapai."
Jika ibunya sudah berpuas hati dengan pencapaian Linda selaku anak bongsunya, bagaimana pula dengan Linda?
Adakah dia sudah berpuas hati memiliki banglo mewah tersebut ataupun
mahu membeli kediaman yang lebih mewah di masa hadapan nanti?
"Saya hanya jual banglo ini kalau harganya mencecah RM7 juta," ujar Linda berseloroh.
Melahirkan isi hatinya, akui Linda, "Selepas menetap di banglo ini,
barulah saya mamahami istilah home sweet home atau rumahku syurgaku.
"Ia sememangnya memberikan kepuasan seratus peratus apatah lagi
dekorasinya adalah hasil curahan idea saya sendiri. Banglo ini
sememangnya rumah impian saya."